Agama di Alam Melayu Sebelum Islam

 

    Sebelum kedatangan Hindu-Buddha di Alam Melayu, masyarakat di sini dikatakan menganut fahaman animisme iaitu menyembah alam sekeliling seperti pokok, gunung dan sebagainya serta agama penyembahan Hyang iaitu menyembah  roh nenek moyang yang telah meninggal dunia dan juga dewa bagi orang Melayu. Namun, tidak mustahil jika terdapat utusan Allah antara nabi atau rasul yang diutuskan ke atas kaum Melayu yang membawa ajaran tauhid sebelum Masihi. Ini kerana Allah telah mengutuskan Nabi dan Rasul pada setiap umat sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah dalam Surah Faathir ayat 24 “sesungguhnya Kami mengutusmu dengan (agama) yang benar, sebagai pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan tidak ada sesuatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran. Namun, jika menurut Syeikh Faqih Ali al-Fathani menyatakan dalam Tarikh Fathani bahawa terdapat pedagang-pedagang Arab yang berdagang di Pattani sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW menganut ajaran agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS.

            Agama Hindu datang ke Alam Melayu pada awal abad pertama Masihi iaitu sekitar tahun 78 Masihi. Agama Hindu dibawa ke Alam Melayu oleh golongan agamawan seperti Brahma dan sami, bangsawan, pelayar-pelayar dan pedagang-pedagang dari India. Faktor utama hubungan yang erat antara orang-orang dari India dengan Alam Melayu ialah kerana emas. Emas telah menjadi tarikan utama bagi orang-orang India. Maka, Alam Melayu digelar sebagai Suvarnabhumi yang bererti Bumi Emas. Mengikut sesetengah pendapat, agama Buddha tiba lebih awal di Alam Melayu berbanding agama Hindu. Agama Buddha dikatakan tiba di Alam Melayu pada abad ketiga hingga abad pertama sebelum masihi. Dikatakan pada zaman pemerintahan Asoka dari Dinasti Maurya (330-180 Sebelum Masihi), ramai mubaligh Buddha dikirimkan ke kepulauan Alam Melayu untuk menyebarkan ajaran Buddha. Usaha penyebaran ajaran Buddha di Alam Melayu diteruskan Ketika pemerintahan Maharaja Kanisya iaitu pada awal abad pertama masihi. Begitu kuatnya pengaruh Hindu-Buddha di Alam Melayu dapat dibuktikan melaui pembinaan candi-candi seperti Candi Borobudur di Magelang, Jawa Tengah dan Candi Prambanan di Yogyakarta. Alam Melayu juga menjadi pusat pengajian Buddha yang ulung di mana ribuan sami berkumpul di sini.

Comments

Popular posts from this blog

Defining Southeast Asia

Rumpun Melayu